Tuesday 4 December 2012

RASIONAL DAN MATLAMAT PENDIDIKAN PEMULIHAN

Rasional Pendidikan Pemulihan

1. Murid-murid merupakan individu-individu yang berbeza dari segi pengalaman, minat, dan kebolehan. Perbezaan-perbezaan tersebut jika tidak diberi perhatian boleh menjadi punca masalah uang utama kepada kegagalan pencapaian objektif-objektif pembelajaran yang telah ditetapkan .

2. Dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang telah dikeluarkan, beberapa penetapan telah dibuat sebagai langkah untuk mengatasi masalah-masalah yang terdapat dalam sistem persekolahan. Antaranya ialah :

a) Kenaikan darjah secara automatik seperti yang berlaku sekarang dikekalkan dan mereka yang lemah dalam bidang kemahiran tertentu diberi pendidikan pemulihan.

b) Kurikulum yang ada sekarang hendaklah disusun semula supaya dapat diubah suai bukan sahaja untuk membolehkan murid-murid yang lemah mencapai kemahiran asas bahkan membolehkan murid yang cerdas bertambah maju.

c) Keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha-usaha untuk membaiki dan meninggikan taraf pendidikan di kawasan-kawasan yang mundur sejajar dengan dasar kerajaan.

d) Usaha untuk merapatkan hubungan antara sekolah dengan masyarakat hendaklah dijalankan dengan sepenuhnya melalui kegiatan-kegiatan PIBG.

e) Rancangan Amalan Makanan dan Pemakanan dan Rancangan Makanan Tambahan diteruskan kerana faedah-faedah yang diperoleh.


Matlamat Pendidikan Pemulihan

Antara matlamat utama program pemulihan ialah :

1. Membantu murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran untuk menguasai kemahiran tertentu.

2. Membantu murid-murid membetulkan sikap yang negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran.

3. Memupuk serta mengembangkan keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran

No comments:

Post a Comment


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...