KONSEP PENDIDIKAN PEMULIHAN
Program pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira). Mereka patut dipulihkan sebaik sahaja masalah yang dihadapi itu dapat dikesan dan ditentukan oleh guru bilik darjah atau guru mata pelajaran dengan langkah-langkah yang berbeza bergantung kepada jenis masalah.
Definisi Pendidikan Pemulihan
Menurut Kamus Dewan, perkataan pulih bermaksud kembali seperti biasa, sembuh, atau baik semula. Maksud perkataan pulih di sini adalah berkait rapat dengan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan dalam pembelajaran. Pendidikan pemulihan biasanya dikaitkan dengan usaha-usaha untuk membaiki sesuatu kekurangan dan membetulkan sesuatu yang tidak betul. Ianya bertujuan untuk mengatasi masalah kelemahan yang dihadapi oleh guru dan murid dalam proses pengajaran dan pemulihan.
Koh Boh Boon (1982) menyatakan bahawa pendidikan pemulihan adalah terbatas dan lebih khusus sifatnya kerana ia bertujuan untuk membaiki kelemahan pembelajaran. Ia melibatkan murid-murid lambat iaitu mereka yang lambab atau lambat mencapai pembalajaran pada tahap yang sepatutnya dicapai.
Sampson (1975) pula mentafsirkan pendidikan pemulihan merupakan tindakan-tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesulitan dari segi pembelajaran dalam kelas khas di sekolah biasa, di pusat-pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam kumpulan yang diasingkan daripada sekolah biasa dan dalam darjah untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.
Pringle (1996) menyatakan pengajaran yang mempunyai pendekatan khas yang diperlukan oleh semua murid yang mundur dalam satu-satu mata pelajaran serta berkemahuan dan berkebolehan belajar, melalui latihan yang bersistem dan dapat memenuhi keperluan-keperluan mereka.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1983:371) menyatakan satu tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran dalam darjah khas di sekolah biasa, di pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam kumpulan yang diasingkan daripada sekolah biasa, dan dalam darjah untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.
No comments:
Post a Comment