Wednesday 5 December 2012

CARA MENGESAN MURID-MURID YANG BERMASALAH PEMBELAJARAN

Kumpulan Sasaran Pendidikan Pemulihan

Pendidikan pemulihan dijalankan untuk menampung keperluan-keperluan murid di dalam kelas biasa yang menghadapi masalah-masalah berikut, bukan masalah kecacatan akal atau terencat akal :

1) Masalah pembelajaran akibat :
     a) ketidaksesuaian bahan dan teknik pengajaran guru
     b) sering tidak hadir ke sekolah
     c) cuai menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran
     d) leka dan lambat

2) Masalah-masalah yang menghalang pembelajaran :
     a) masalah peribadi
     b) masalah psikologi
     c) kurang kecerdasan iaitu lambat berfikir, bertindak, cepat lupa, sukar memahami dan lemah pengamatan.


Cara Mengesan

A     Pemerhatian

Guru boleh membuat pemerhatian secara tidak langsung dalam bilik darjah masing-masing. Guru boleh memerhatikan wajah murid-muridnya sama ada berwajah ceria, takut, sedih, takut, bingung dan sebagainya. Sekiranya wujud murid yang menunjukkan wajah yang bermasalah, guru perlu mengenal pasti masalah mereka lebih teliti dengan membuat pemerhatian secara berterusan dan berulang kali serta memerhatikan setiap perubahan yang berlaku.


B     Penafsiran rekod prestasi

Rekod prestasi ialah rekod yang menyimpan maklumat tentang pencapaian akademik murid, khususnya dari segi kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai pada sesuatu peringkat pembelajaran secara berterusan. Tujuan utama penyimpanan rekod-rekod ini adalah untuk membekalkan maklumat dan keterangan yang tepat dan lengkap tentang pencapaian murid-murid dalam kelas.


C     Rekod profil

Rekod profil ialah rekod yang memberi maklumat tentang pencapaian murid-murid dalam semua mata pelajaran yang diikuti di sekolah. Pencapaian ini ditunjukkan dengan menggunakan markah dan gred. Rekod ini mencatatkan prestasi murid-murid setiap penghujung semester. Biasanya catatan dibuat pada awal tahun, pertengahan tahun dan akhir tahun atau mengikut semester. Pencapaian dalam rekod ini berdasarkan satu ujian sumatif pada akhir setiap semester. Rekod profil yang disarankan dalam KBSR dan KBSM adalah bentuk senarai kemahiran, minat , bakat dan lain-lain yang tidak begitu formal bentuknya. Segala maklumat tentang murid-murid haruslah didasarkan kepada penilaian yang dibuat dalam bentuk pemerhatian yang dilakukan secara tidak formal. Walau bagaimanapun, ujian kertas dan pensel yang biasanya dibuat secara formal juga dilaksanakan.


D     Ujian kertas dan pensel

Ujian bentuk ini melibatkan penggunaan perkataan secara tidak langsung menguji penguasaan bahasa murid. Ujian kertas dan pensel terdiri daripada ujian objektif dan ujian subjektif. Ini bermakna dalam sesuatu ujian, soalan-soalan itu memerlukan murid membaca, meneliti, mengkaji dan menulis jawapan.


E     Temu bual dengan guru darjah

Perbincangan dengan guru darjah dapat memberi maklumat tentang seseorang murid yang hendak dikenal pasti. Melalui temu bual dengan guru darjah atau guru mata pelajaranm kita boleh mendapatkan maklumat-maklumat seperti rekod kedatangan, ketepatan masa, pencapaian kerja akademik, ciri-ciri tingkah laku yang khusus dan perbezaan-perbezaan individu dalam kalangan murid-murid yang lain. Maklumat-maklumat ini dianalisis dan hasilnya akan dapat membantu guru mengesan masalah pembelajaran murid.


F     Temu bual dengan ibu bapa

Ibu bapa seharusnya bekerjasama dengan guru untuk memberi maklumat tentang masalah pembelajaran murid, terutamanya murid Tahun Satu. Melalui temu bual dengan ibu bapa, guru dapat mengetahui banyak maklumat contohnya tentang latar belakang keluarga, aspek kesihatan, pemakanan, kemudahan pembelajaran dan kemudahan asas yang lain di rumah, Dengan adanya maklumat ini, guru dapat mengenal pasti punca-punca masalah pembelajaran murid dan dpat merangka suatu perancangan yang berkesan untuk membantu murid-murid bermasalah.

1 comment:

  1. blhkah sy tahu apa bezaa dgn pentaksiran dan penilaian ? dan ada apa penilaian bg pelajar bermasalah pembelajaran?thx^^

    ReplyDelete


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...